Loveablefashion's Blog

Tips memilih baju untuk pelbagai bentuk badan

Posted on: July 20, 2009

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Corak besar seperti bunga matahari, bunga raya mesti dielakkan wanita bentuk badan pir

BENARKAH jika badan berbentuk pir dan epal sukar mendapatkan pakaian yang sesuai bentuk tubuh? Membeli busana siap selalunya menimbulkan banyak masalah seperti potongan tampak tidak kemas, malah kemungkinan besar akan menyerlahkan lagi kekurangan yang ada kerana banyak busana di pasaran menjurus kepada bentuk tubuh yang beralur sempurna.

Sungguhpun diet dan senaman boleh merubah saiz dan berat badan, perkara penting yang perlu anda ketahui ialah bentuk ruas dan kontor tubuh manusia tidak sama, menjadikan potongan baju untuk si A mungkin menjadi kaku bila disarungkan ke tubuh si B.

Kontor tubuh manusia terbahagi kepada ectomorph (rangka kecil dan langsing) mesomorph (rangka sederhana dan bentuk seimbang) dan endomorph (bentuk tubuh badan yang berat, gemuk dan berbentuk curvyalaysia).

Bentuk asas manusia pula boleh dibahagikan kepada empat iaitu berliku, lurus, pir dan epal, namun dua bentuk yang selalunya menimbulkan masalah ialah bentuk pir dan epal.

Begitu pun, keadaan itu bukanlah masalah yang perlu ditangisi sebaliknya individu perlu melihatnya dari sudut positif, meletakkannya sebagai cabaran, lantas mempelajari teknik bagi ‘melindungi’ kekurangan bentuk yang ada menerusi pakaian.

Pengasas dan Pengetua FTIM Designing Centre, Rosita Ja’afar, berkata pereka yang pandai bermain warna dan corak boleh menjadikan pemilik tubuh pir dan epal tampak sempurna kerana kebijaksanaan membuat ilusi mampu melindungi ketidaksempurnaan tubuh seseorang.

Permainan warna seperti gabungan antara padanan atas dan bawah serta potongan adalah penentu utama kesempurnaan pemilik tubuh seperti ini, kerana ia boleh membuat helah mengenai kekurangan bentuk tubuh, seterusnya badan tampak lebih kemas kerana kekurangan bentuk ini selalunya dikaitkan dengan komposisi tubuh yang tidak sama.

“Bentuk epal menyebabkan seseorang kelihatan rendah walaupun hakikatnya ia tinggi kerana bahagian atas dan bawah yang sama lebar. Busana yang polos untuk bahagian atas dan bawah adalah paling sesuai. Warna yang sama boleh membuatkan tubuh kelihatan lebih langsing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika mengenakan sut, pastikan warna pada bahagian dalam lebih cerah daripada kot, sementara padanan bawah boleh dikenakan seluar atau skirt yang ketat sedikit untuk tampak langsing.

Berbeza dengan mereka yang bertubuh pir yang dikatakan memiliki bahagian atas lebih kecil daripada bawah. Untuk mendapatkan ilusi bentuk sempurna, pakaian pada bahagian atas haruslah lebih terang daripada bahagian bawah sama ada anda mengenakan seluar atau skirt, ia perlu daripada rona gelap.

Selain itu, katanya, pastikan juga pakaian yang dipilih tidak terlalu labuh melebihi punggung bagi mengelakkan pandangan mata lebih tertumpu pada bahagian bawah.

“Corak fabrik juga seharusnya diberikan perhatian kerana ia tidak seharusnya menyebabkan tubuh anda yang besar itu jelas kelihatan. Lupakan corak besar keterlaluan seperti bunga matahari atau bunga raya, sebaliknya pilih corak kecil seperti bunga kecil dan bunga beralun.

“Bagi yang bertubuh sebegini, kalau boleh elak sekali motif abstrak seperti berkotak kerana tubuh yang tinggi boleh menjadi rendah kerana bentuk corak sedemikian,” katanya.

Menyentuh mengenai aksesori, katanya tali pinggang nipis tidak melebihi satu inci boleh dikenakan. Jenis yang halus serta yang berantai-rantai amat sesuai. Boleh dikenakan, tetapi pastikan saiznya tidak terlalu besar melebihi satu inci dan terletak pada i bahagian pinggul.

Menyentuh mengenai baju kurung yang selalu dikenakan wanita sebegini, katanya pemilik bentuk epal dan pir boleh memilih busana ini, tetapi bahagian bahu (span) perlu tidak terlalu tebal.

Baju kebaya kurang sesuai untuk tubuh epal kerana anda mungkin nampak tidak berpinggang, sebaliknya pemilik tubuh pir boleh mengenakan baju kebaya tetapi pastikan bahagian bawah tidak yang terlalu besar kerana mungkin tampak terlalu besar dan tidak kemas pada pandangan mata.

“Pemakaian jubah juga dilihat membantu ‘menutup’ bentuk tubuh, lagipun banyak pilihan jubah di pasaran. Bagi yang gemar berhias, boleh mengenakan celana berhias cantik labuci atau manik pada bahagian kaki seluar berkenaan untuk penampilan yang lebih hebat lagi.

“Sungguhpun begitu perlu diingatkan wanita bertubuh sebegini bukanlah satu kekurangan yang perlu ditangisi sebaliknya rekaan yang betul boleh menjadikan mereka tampak hebat, yang pasti pereka perlu tahu dan kenali pemakainya. Wanita hari ini bertuah kerana banyak jenama yang menyediakan pakaian untuk wanita bertubuh sebegini,” katanya.


INFO:

Cubalah bandingkan diri anda dengan bentuk badan fisiologi ini. Bagaimanapun, jangan bimbang jika anda tidak termasuk dalam sebarang golongan itu kerana kebanyakan individu memiliki jenis kombinasi.

  • Bentuk buah pir/segi tiga/ A Ciri: Memiliki bahagian atas lebih kecil daripada bahagian bawah iaitu besar di sekitar pinggul dan peha kerana lemak berkumpul di sini. Secara tidak langsung ia menyebabkan pinggang kelihatan kecil dan ramping. Tetapi wanita jenis ini tidak memiliki payudara yang besar. Meskipun dikatakan bertuah kerana mempunyai pinggang yang ramping, anda memiliki betis agak besar.Cara bergaya: Perlu lebih berhati-hati kala memilih pakaian bagi memastikan bahagian bahu tampak luas, pakai baju yang ada pelapik bahu yang kecil untuk mengimbangi pinggul yang besar.- Usah kenakan skirt labuh kerana anda akan kelihatan lebih besar.

    - Blaus pula usah terlalu labuh dan pastikan ia tidak jatuh pada garisan paling lebar kerana akan kelihatan lebih lebar.

    - Jangan pakai jaket dengan skirt atau seluar yang ketat pada bahagian pinggul.

    - Bahagian bahu perlu dilebarkan 1.5 sentimeter hingga dua sentimeter. Alas bahu ialah 1 hingga 1.5 sentimeter.

    Warna: Pakai warna cerah untuk bahagian atas dan warna gelap pada bahagian bawah sama ada skirt atau seluar panjang, supaya mata memandang ke bahagian atas, bukannya ke bahagian pinggang ke bawah. Elakkan motif fabrik yang terlalu sarat dan besar pada bahagian bawah tubuh. Jalur menegak pada bahagian bawah untuk membuatkan punggung kelihatan lebih kecil.

  • Bentuk buah jenis epal/kotak/ O Ciri: Wanita yang mempunyai tubuh berbentuk kotak mempunyai ukuran bawah yang sama lebarnya pada semua bahagian iaitu lurus dari atas ke bawah, justeru tidak memiliki lengkok. Bahagian atas dan bawah tubuh kelihatan lurus dan selaras daripada bahu ke pinggul. Lemak biasanya terkumpul pada bahagian abdomen atau perut dan menjadikan perut nampak lebih ketara. Bentuk ini menjadikan pemiliknya kelihatan pendek walaupun dia sebenarnya tinggi. Mereka seolah-olah berpinggang pendek dan bahagian bahu pula kelihatan seolah-olah lebar. Masalah tubuh ini ialah kerana pinggangnya yang lebih besar daripada bahagian pinggul sementara bahagian perut pula menonjol. Namun tubuh berbentuk tempayan mempunyai peha dan kaki yang kecil.Cara bergaya: Pakaian perlu memperbetulkan bentuk tubuh khususnya perut supaya tidak tampak terlalu besar. Elakkan poket, lapel lebar dan sebarang hiasan di dada. Bagi yang gemar bergaya dengan skirt, pilih berbentuk lurus, atau bahagian pinggang yang mempunyai sedikit lipatan. Elakkan seluar ketat atau potongan pensil. Untuk membantunya, pakai skirt atau seluar panjang yang memeri kerana ia membantu bentuk tubuh seimbang.Warna: Pakai warna gelap pada bahagian atas dan warna cerah untuk skirt. Disebabkan tubuh yang besar, elakkan motif besar kerana anda akan kelihatan lebih besar. Memandangkan bahagian pinggang dan perut yang besar, elakkan sebarang corak termasuklah poket pada bahagian berkenaan.
  • Bentuk lurus/tiang/I Ciri: Wanita yang mempunyai bentuk tubuh I, kurus dan lurus. Semua gaya sesuai untuk dipakai. Jika terlalu kurus, memakai baju berlapis adalah idea yang baik. Seandainya terlalu tinggi, pilih pakaian bercorak bagi mencantas ketinggian. Sekiranya pendek dan ingin tampak tinggi, pakai pakaian bercorak bergaris menegak dan warna senada.Wanita yang mempunyai bentuk tubuh sebegini dikatakan memiliki bahagian bahu luas dan lazimnya dimiliki oleh model, justeru boleh memakai banyak jenis gaya pakaian kerana tidak perlu melindungi apa-apa dan juga tidak ada apa-apa yang perlu ditonjolkan. Malah pereka pakaian gemar model yang mempunyai bentuk tubuh seperti itu kerana dia mahu anda mengingati rekaan pakaiannya dan bukan model yang menggayakan. Model Tengku Azura dikaitkan dengan tubuh sebegini.Cara bergaya: Baju atau seluar tidak boleh terlalu ketat, sementara itu rekaan baju perlu dilebihkan pada bahagian bahu untuk tampak lebih cantik, pakai baju berkolar atau hiasi leher dengan rantai.

    Warna: Rona senada paling sesuai. Untuk tampak tinggi, pakai baju bercorak garisan menegak dan jika ingin kelihatan ramping, tampilkan warna warni atau sebarang aksesori pada bahagian tengah tubuh.

  • Bentuk berliku/gitar/X Ciri: Dianggap sebagai bentuk yang sempurna kerana tidak punyai banyak masalah apabila membeli pakaian. Bentuk tubuh sedemikian mempunyai bahagian atas dan bawah yang seimbang. Artis seperti Beyonce mempunyai tubuh bentuk sebegini. Potongan badan lurus dan melengkok dengan pinggang yang kecil dan potongan pinggul serta bahagian dada yang penuh.Cara bergaya: Pakaian daripada fabrik lembut dan beralun paling sesuai untuk menyerlah bentuk yang cantik itu.Warna: Sesuai kebanyakan warna.
  • About these ads

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Become Fan

    FB.init("c93b8636f95e3f59308e69ca59faeacf");

    loveable fashion on Facebook
    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: